Sep
09
Thursday
|
|
|
|
UTUSAN MALAYSIA
ARKIB : 04/07/2009 Menyelam di PWTC Oleh ABD. HALIM HADI This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it ![]() SELAIN menghimpunkan pelbagai produk, MIDE juga dinantikan peminat skuba setiap tahun untuk mendapatkan harga terbaik. SIAPA kata perlu ke tengah laut untuk selaman skuba? Bagaimana dengan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)? Adakah masih terlalu jauh bagi anda di sekitar Lembah Klang? Jika ia seperti agak mustahil, apa kata tinggalkan seketika urusan yang tidak berkenaan dan periksa sendiri apa yang menarik sepanjang Ekspo Menyelam Antarabangsa Malaysia (MIDE) 2009 yang berlangsung selama tiga hari di situ, bermula semalam. Orang ramai yang ingin merasai keseronokan berada di bawah permukaan air berpeluang mencuba selaman skuba di dalam kolam percubaan mudah alih yang dikendalikan oleh penyelam-penyelam berpengalaman. Bukan itu sahaja, jika bernasib baik anda juga boleh terpilih sebagai pemenang peraduan cabutan bertuah dan membawa pulang hadiah utama bernilai AS$ 9,500 (RM33,250). Selain itu, pelbagai hadiah pertandingan bernilai AS$30,000 (RM105,000) turut menanti pengunjung sepanjang pameran yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 7 petang. Pengarah AsiaEvents Exsic Sdn. Bhd, Thayalan Kennedy berkata, ekspo tiga hari itu bertujuan mempromosikan negara sebagai destinasi menyelam, sukan air dan rekreasi setempat ke peringkat antarabangsa. “Sebanyak 155 gerai jualan dan pameran dibuka di pusat dagangan itu yang menawarkan tawaran harga terbaik pelbagai jenis produk, pakej pelancongan dan kursus selam. “Melalui penglibatan syarikat tempatan dan antarabangsa, kita menganggarkan kira-kira 10,000 pengunjung akan membanjiri MIDE pada tahun ini,” katanya. Selain mendapatkan pelbagai produk skuba dan rekreasi terkini, orang ramai juga berpeluang melihat perkembangan industri skuba, potensi perniagaan dan pendedahan pengetahuan berkaitan aspek pemuliharaan alam laut. Ekspo kali keempat itu turut menghimpunkan agensi-agensi pelancongan yang berkaitan seperti pengendali selam rekreasi, kursus, pemilik resort dan pengendali bot. |















